Friday, April 18, 2008

just my say

Pilihan raya umum yang baru sahaja menutup tirainya memperlihatkan pelbagai kejutan yang menyentap pemikiran pelbagai pihak. Tsunami politik yang melanda tanah air merupakan satu era baru di dalam politik nusa. Angin perubahan yang melanda benar-benar merupakan tamparan yang cukup hebat kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional. Pelbagai alasan dan sentimen yang dibangkitkan mengenai prestasi parti pemerintah pada pilihan raya umum kali ini. Kenaikan mendadak jumlah ahli parlimen dari pihak pembangkang sebenarnya didorong oleh pelbagai isu yang belum diselesaikan. Pada dasarnya boleh dinyatakan di sini pakatan pembangkang yang menggelar diri mereka Barisan Alternatif, cukup bijak dalam memainkan pelbagai isu untuk dijadikan modal di dalam pilihan raya. Bermula dengan kenaikan harga minyak diikuti dengan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya, ditambah dengan isu perlantikan hakim, penindasan kaum India, penghunusan keris di perhimpunan Umno, isu komisyen kapal selam dan macam-macam lagi, semuanya bagai diatur dengan begitu strategik bagi meraih undi rakyat. Harus dinyatakan juga antara punca prestasi yang memberansangkan pakatan pembangkang adalah kerana hasil kerja keras jentera pilihan raya mereka yang bergerak jauh lebih awal daripada jentera parti pemerintah. Dengan sesi-sesi ceramah yang lebih berbentuk kempen yang diadakan dengan penuh konsisten, mereka telah berjaya mempengaruhi pengundi. Harus diingatkan pada zaman teknologi moden ini, sesi ceramah yang diadakan merupakan satu persembahan multimedia yang begitu menarik perhatian. Pendekatan mereka melalui media alternatif tidak kurang hebat juga. Rangkaian jejaring yang begitu meluas terbukti cukup berkesan dalam menyebarkan ideologi dan propaganda kepada warga kota. Dapat dilihat dengan jelas Kuala Lumpur bagaikan titik pusat api yang merebak ke kawasan sekitar. Disebabkan batasan media arus perdana, barisan altenatif telah memanafaatkan sepenuhnya penggunaan media seperti facebook dan youtube. Ditambah pula dengan rangkaian telekomunikasi yang cukup meluas sms dan mms turut memainkan peranan yang efektif. Dari sudut yang lain pula, terbitan mingguan akhbar politik seperti Harakah berjaya menembusi pasaran awam. Bahan propaganda ini dijual secara terbuka di kedai runcit walaupun tertulis di muka hadapan, 'hanya untuk ahli Pas'. Pengisiannya yang penuh dengan tuduhan dan fitnah terhadap kerajaan berjaya menembusi pemikiran khalayak umum. Akhbar yang begitu berdedikasi kepada perjuangan politik barisan altenatif turut diedarkan secara percuma kepada umum sepanjang kempen pilihan raya. Mungkin sudah tiba masanya Barisan Nasional menerbitkan sesuatu yang hampir sama bagi menangkis segala tohmahan yang dilontarkan. Mungkin juga Barisan Nasional perlu lebih agresif dalam berkempen. Jika Barisan Altenatif sudah mula berkempen dua atau tiga tahun sebelum pilihan raya, maka pendekatan yang sama harus diambil, tidak cukup dengan hanya sekadar perhimpunan tahunan, kempen-kempen secara intra personal hendaklah mula digerakkan. Barisan Nasional harus melakukan anjakan paradigma dalam usahanya untuk memenangi hati rakyat.

No comments: